Bagus akademik, pasif sosial
ruhaiza@hmetro.com.my
BERI peluang pelajar kembangkan bakat mereka, jangan kongkong dan terlalu tertumpu pada pencapaian akademik semata-mata.
Itu nasihat saya kepada ibu bapa yang terlalu taksub mementingkan pencapaian anak dalam peperiksaan dan akademik sehingga melupakan kepentingan sosial.
Cuba letakkan diri anda dalam situasi ini, jika setiap hari diasak dengan buku dan ‘leteran’, apakah rasanya? Sudah tentu bosan, tertekan, marah dan pelbagai lagi perasaan negatif.
Sebagai ibu bapa, memang mengharapkan yang terbaik namun ada kalanya terlupa kemampuan anak menerima pengharapan itu.
Justeru, jika anak terbabit dalam pelbagai masalah sosial seperti lari dari rumah dan enggan belajar, jangan salahkan mereka, tentu ada sebab mengapa bertindak begitu.
Sebelum menyalahkan anak, ibu bapa kena kaji dan melihat apa pula kesalahan diri sendiri.
Sebagai remaja, naluri mereka sentiasa berubah, mahu mencuba sesuatu baru walaupun ditegah. Penerimaan atau perlakuan itu memang ada kalanya tampak tidak manis pada norma masyarakat.
Bagaimanapun, ibu bapa harus peka pada naluri dan kehendak mereka sebagai golongan yang hidup pada zaman moden. Misalnya, jika minat muzik, berikan galakan menyertai kelas muzik.
Jika mereka ingin aktif dalam kokurikulum berikan juga galakan kerana ia bukan saja berupaya membina minda namun mampu memberi pengalaman baru dan berbeza.
Pengalaman itu pula akan mematangkan seseorang, membentuk fi kiran berbeza serta pada masa sama memperluaskan lagi jaringan perhubungan dengan masyarakat.
Masalahnya, kebanyakan ibu bapa tidak faham mengenai situasi ini. Saya faham, ibu bapa mahu anak memperolehi kejayaan namun makna kejayaan itu bukanlah dalam satu aspek semata-mata.
Jika anak berjaya dalam akademik, namun pasif dalam pergaulan sosial, itu tidak boleh dinamakan kejayaan.
Di sinilah penting untuk mengimbangi antara tuntutan ilmu, sosial, ekonomi, budaya dan masyarakat.
Ibu bapa kena buka minda dan menggunakan kaedah pendidikan bersesuaian dengan perkembangan usia dan zaman. Jangan terlalu menggunakan pendekatan seperti ibu bapa dulu kerana ada kalanya ia kurang sesuai.
Bagi pelajar, apabila memperolehi kepercayaan dan sedikit kebebasan ibu bapa, jangan menyalahgunakannya kerana ibu bapa sukar memberi kepercayaan kali kedua.
Masalah gejala sosial hari ini berlaku kerana antara ibu bapa, anak dan institusi masyarakat tidak memahami peranan masing-masing selain pendekatan salah menyelesaikan masalah.
Sebelum terlambat, perlu langkah proaktif untuk membendungnya.
Bagi ibu bapa, perluaskan minda, jadikan anak sebagai kawan, dengar rintihan atau keluhan mereka di samping memberi sedikit kebebasan merencana masa depan.
Tapi, semuanya perlu dilakukan dengan bimbingan dan teguran membina, jangan gunakan kekerasan, ugutan atau membanding dengan orang lain.
Anak pula, jangan terlalu bersikap degil, malas belajar dan suka melawan kata. Bersikap terbuka menerima kritikan ibu bapa dan jika tidak berpuas hati, suarakannya dengan cara betul.
Saya percaya, sekeras mana hati ibu bapa, jika anak bersuara lembut dan berbudi bahasa, mereka boleh menerimanya.
Yang penting, caranya tidak melanggar norma masyarakat dan agama.
Masyarakat pula perlu bersikap peka, sentiasa memberi dorongan serta pada masa sama jangan berpandangan serong terutama remaja kerana ia bakal ‘membunuh hubungan’ dan usaha yang ingin dilakukan.
Masyarakat perlu menjadi pembimbing, menegur secara berhemah perilaku melanggar batasan dan sentiasa memaafkan kesalahan. Gunakan psikologi dan pendekatan bersesuaian untuk mengambil hati golongan muda.
Jika semua pihak bersatu padu, usaha melahirkan pelajar berketrampilan dan cemerlang pasti tercapai. Paling penting membentuk persefahaman sebelum pelaksanaan.
No comments:
Post a Comment