Termakan umpan ‘dadah percuma’
metahad@hmetro.com.my
| |
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan empat yang menagih syabu mengaku turut mengedar dadah sintetik itu kepada rakannya di sekolah, selain menjadi orang tengah kepada satu sindiket pengedaran dadah.
Malah, pelajar berusia 16 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Fendi berkata, apabila menjadi orang tengah untuk menghantar bekalan dadah, dia dibekalkan sepucuk senjata api oleh tokan (pengedar besar).
“Setiap kali diarah menghantar dadah, tokan memberi dadah percuma sehingga saya lalok (khayal) dan menjadi berani luar biasa. Selepas itu dia membekalkan saya dengan pistol.
“Bagaimanapun, saya tidak pernah menggunakan pistol itu kerana tidak pernah berdepan masalah ketika berurusan,” katanya kepada Metro Ahad.
Fendi adalah seorang daripada dua penagih dan pengedar dadah cilik yang kini menerima bimbingan daripada Yayasan Sahabat Iman dan Insan Malaysia (Sidim) untuk keluar daripada kegiatan membawa maut itu.
Menurut Fendi, sebelum menagih syabu, dia bermula dengan menghidu gam dan menghisap ganja ketika berusia 14 tahun.
“Semuanya angkara ingin menjadi hero kerana ramai rakan sekelas dan sekolah mengambil dadah. Kalau tidak ambil (dadah), rasa macam pondan pula,” katanya.
Ketika di tingkatan tiga, dia mula menjadi pembekal dadah kepada rakan sekolah, namun upah diperolehnya tidak mencukupi untuk menampung kos bekalan syabu untuk dirinya kerana harga dadah sintetik itu terlalu mahal.
“Ketika itu saya bertemu tokan berkenaan. Mungkin dia melihat potensi pada diri saya untuk menjadi orang suruhannya, lalu saya diberi syabu percuma sejak awal tahun ini sehingga Mei lalu.
“Ketagihan saya menjadi serius. Tiada waktu saya tidak ‘lalok’ kecuali tidur dan keperluan dadah saya semakin meningkat. Ketika itu, tokan memaklumkan dia tidak lagi dapat menaja dadah saya dan meminta saya mencari wang sendiri,” katanya.
Menurut Fendi, ketika gelisah memikirkan bagaimana mencari RM100 sehari untuk menampung kos membeli bekalan syabu, tokan itu memintanya menjadi orang tengah untuk membekalkan dadah kepada pelanggan.
“Saya dibayar RM300 bagi setiap penghantaran syabu, manakala syabu untuk saya diberi percuma. Kerja saya hanya menyerahkan bekalan syabu kepada pembeli. Ia dimasukkan ke dalam plastik dan diletakkan di dalam kotak.
“Kotak itu saya masukkan ke dalam beg dan terus ke lokasi ditetapkan untuk berjumpa pembeli seperti diarah ‘tokan’. Wang bayaran kepada tokan saya masukkan ke dalam sampul surat. Ia jumlah besar, tetapi saya tidak pernah ambil tahu jumlahnya,” katanya.
Fendi berkata, bayaran diterimanya daripada kegiatan pengedaran syabu sangat lumayan kerana biasanya dia membuat lebih daripada satu penghantaran sehari.
“Malah, sehari sebelum keluarga mengesan kegiatan saya dan menghantar saya ke Sidim, saya membuat empat penghantaran dan menerima upah RM1,200,” katanya.
Ditanya bagaimana kegiatannya diketahui keluarga, Fendi berkata, ia terbongkar apabila dalam keadaan ‘separuh sedar’ dia menceritakan segala-galanya kepada ibu dan abangnya.
“Nasib baik Allah SWT masih sayangkan saya. Saya kini insaf dan ingin menjadi insan lebih baik. Selepas keluar nanti, saya ingin mencari kerja dengan rezeki halal, walaupun bergaji kecil,” katanya.
Sama seperti Fendi, seorang lagi penagih dan pengedar dadah cilik yang hanya mahu dikenali sebagai Duan, 18, berkata dia terbabit dalam aktiviti pengedaran syabu kerana ingin mendapatkan wang bagi membeli syabu untuk kegunaan sendiri.
Duan berkata, dia mula terjebak dengan dadah ketika bersekolah dalam tingkatan empat sebelum mula menjual dadah, terutama jenis syabu, sejak awal tahun ini.
“Saya hanya menjadi pengedar dadah kecil-kecilan untuk menampung ketagihan kerana harga syabu mahal. Saya tidak bekerja, jadi pendapatan daripada menjual dadah digunakan untuk melepaskan gian,” katanya.
“Syabu terbesar pernah saya beli seberat 25 gram berharga kira-kira RM7,000. Itu pun saya kongsi dengan beberapa rakan. Kami pecahkan kepada paket kecil untuk dijual kepada penagih syabu lain, manakala selebihnya untuk kegunaan sendiri,” katanya.
Duan berkata, dia mendapat bekalan syabu dengan menghubungi seorang tokan dikenalinya dan penghantaran dilakukan selepas mereka diarah menunggu di lokasi ditetapkan.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, selepas lebih dua tahun bergelumang dengan najis dadah, dia bersyukur dapat keluar daripada dunia hitam itu selepas dipaksa keluarganya menjalani pemeriksaan ujian air kencing.
“Mereka paksa saya jalani ujian itu selepas mendapati keadaan saya yang pelik dengan sering tidak pulang ke rumah. Apabila pulang pun, saya boleh tidur dua atau tiga hari tanpa makan dan minum.
“Kini keluarga tahu kegiatan saya. Walaupun malu, sekurang-kurangnya saya kini terselamat. Kalau berterusan, mungkin hidup saya berakhir di penjara atau lebih buruk, di tali gantung,” kata Duan.
No comments:
Post a Comment