Samseng sekolah
Oleh Ruhaiza Rusminruhaiza@hmetro.com.my
| SETIAP hari ada sahaja masalah disiplin membabitkan pelajar sekolah dilaporkan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menanganinya. |
Henti sikap tuding jari
Masalah itu meninggalkan kesan terhadap institusi pendidikan dan guru, kredibiliti mereka dipertikaikan kerana gagal membentuk disiplin dan sahsiah pelajar.
Pihak yang paling teruk menerima kritikan ialah guru disiplin dan kaunselor yang sebelum ini dikatakan mampu membantu mencorakkan imej positif dan menyelesaikan masalah sahsiah pelajar.
Kegagalan itu menimbulkan persoalan, apakah fungsi guru disiplin dan kaunselor selama ini, adakah mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna atau apakah kekangan yang menyebabkan mereka gagal bertindak mengikut keperluan semasa?
Naib Pengerusi Disiplin Sekolah Zon Sentul, Kuala Lumpur, Syed Khairul Azwi Syed Mokhtar, berkata kegagalan guru disiplin dan kaunselor menangani disiplin pelajar bukan disebabkan kelemahan mereka, tetapi sikap lepas tangan segelintir pihak.
Menurutnya, masyarakat hanya menyerahkan tugas membentuk sahsiah pelajar kepada guru padahal ibu bapa sepatutnya mengambil tanggung jawab lebih besar.
“Selagi skeptikal itu tidak diubah, selamanya pandangan masyarakat terhadap fungsi guru disiplin dan kaunselor negatif. Jika gagal, natijahnya akan diterima guru dan institusi persekolahan.
“Tanggung jawab mendidik pelajar bukan tugas satu pihak saja, malah membabitkan semua pihak terutama ibu bapa.
“Tidak adil menuding jari pada kami semata-mata kerana masalah disiplin memerlukan pemantauan luas.
“Dengan jumlah guru disiplin dan kaunselor yang kecil tentu sukar melaksanakan tanggung jawab menangani disiplin pelajar,” katanya.
Terdapat kira-kira 327,000 guru di negara ini iaitu 58.2 peratus di sekolah rendah dan 41.8 peratus di sekolah menengah sedangkan jumlah pelajar ialah 6.3 juta orang di seluruh negara pada tahun lalu.
Antara masalah disiplin pelajar lelaki di sekolah ialah pergaduhan, merokok, ponteng dan buli manakala perempuan lebih berkaitan emosi seperti teman lelaki.
Biarpun kebanyakan salah laku dianggap ringan, jika tidak dibendung boleh memberi kesan serius.
Statistik Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mendapati, pembabitan pelajar sekolah dalam kes jenayah semakin serius.
Sebanyak 1,996 pelajar ditahan kerana terbabit dalam 881 kes jenayah bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, berkata daripada 6.3 juta pelajar, hanya dua peratus terbabit dengan gejala sosial.
Mengulas sama ada tindakan guru disiplin terlalu keras hingga menjadikan pelajar bermasalah memberontak dalam diam, Syed Khairul Azwi, berkata anggapan itu tidak benar kerana pendekatan digunakan bukan secara melulu tetapi mengikut prosedur ditetapkan.
Menurutnya, setiap hukuman tidak boleh dilakukan sesuka hati kerana perlu mematuhi peraturan, antaranya berjumpa kaunselor, diberi amaran ataupun dirotan.
“Walaupun begitu, hukuman rotan hanya boleh dibuat dalam bilik guru besar dengan kehadiran penolong kanan dan ibu bapa. Guru tidak boleh boleh sesuka hati memukul pelajar.
“Guru disiplin bukan punca masalah disiplin atau semakin ramai pelajar memberontak.
“Bagaimanapun, saya tidak menafikan kebanyakan guru disiplin agak serius bagi menjaga intergriti dan kredibiliti kami,” katanya.
Sementara itu, seorang guru kaunselor di ibu kota, Nor Ayu Adni, berkata walaupun tindakan guru kaunselor lebih lembut dan berhemah, ia bukan punca kegagalan memperbaiki masalah pelajar.
Menurutnya, tindak tanduk pelajar sukar dijangka dan guru serta institusi persekolahan perlu bijak menggunakan pendekatan tertentu.
“Tiada tindakan drastik boleh diambil bagi memperbetulkan keadaan itu.
“Guru disiplin dan kaunselor ada cara tersendiri menangani disiplin pelajar kerana matlamatnya untuk membentuk pelajar menjadi manusia berguna,” katanya.
Mengenai pendekatan digunakan, Nor Ayu berkata, kaunselor perlu mendengar setiap masalah pelajar tanpa prejudis.
Menurutnya, pelajar diberi peluang meluahkan masalah dan kaunselor tidak boleh memberi penilaian drastik bagi mengelak mereka mempunyai perasaan tidak percaya atau rendah diri.
“Kaunselor harus menganggap mereka sebagai teman rapat yang boleh dipercayai. Ini penting bagi membina rasa percaya, diikuti teknik tertentu mengikut masalah pelajar.
“Berdasarkan pengalaman, pelajar bermasalah boleh dibentuk. Yang menjadi masalahnya apabila masyarakat tidak mahu memberi peluang dan bersikap prejudis.
“Kami sedaya upaya membantu, tetapi sokongan pihak luar amat perlu. Jika tidak masalah ini tidak selesai sampai bila-bila,” katanya.
No comments:
Post a Comment