03 November 2007

Guru, Emosi & Pelajar


Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaiza@hmetro.com.my

SUATU ketika dulu guru cukup dihormati dan dianggap ketua dalam masyarakat. Namun, keadaan hari ini berbeza kerana guru menjadi mangsa keganasan pelajar, dicabul, ditumbuk dan dicekik.

Justeru, di mana kedudukan guru dalam masyarakat?


Biarpun mereka ikhlas berkhidmat mendidik anak bangsa, jika dibalas dengan perlakuan melampaui batas, semangat berkobar-kobar itu tentu merundum.

Ditakuti sikap kurang ajar itu boleh mencantas hasrat dan dedikasi guru memberi ilmu dan ini merugikan pelbagai pihak terutama ketika negara menuju Wawasan 2020.

Persoalannya, mengapa pelajar yang masih berusia setahun jagung berani bersikap demikian. Apakah kerana pengaruh globalisasi, keadaan keluarga yang kacau bilau atau sikap lepas tangan ibu bapa hingga anak terjebak ke kancah gangsterisme?

Ataupun, golongan dewasa tidak memahami gelodak jiwa remaja hingga terus meletakkan kesalahan di bahu mereka?

Pakar motivasi, Dr Robiah K Hamzah, berkata kesalahan tidak boleh diletakkan di bahu satu pihak semata-mata.

Menurutnya, menyalahkan pelajar atau guru semata-mata tanpa penjelasan terperinci tidak adil, malah boleh memburukkan lagi keadaan.

“Memang, masyarakat keliru apabila membaca paparan disiplin pelajar dan konflik guru hari ini, namun apa jua hukuman wajar dilakukan dengan teliti.

“Tidak boleh salahkan mana-mana pihak tanpa meneliti cerita sebenar, malah jika tindakan terburu-buru diambil akan mengeruhkan keadaan dan mewujudkan jurang konflik sedia ada.

“Dalam hal ini, sikap saling menghormati sangat penting. Apa pun, taraf guru wajar dihormati,” katanya.

Mengulas perkembangan semasa membabitkan guru yang menjadi mangsa pelajar, Dr Rubiah berkata, antara faktor penyumbang ialah pelaksanaan peraturan tidak memasukkan elemen perasaan.

Menurutnya, apabila hanya elemen undang-undang statik diamalkan, ia akan mewujudkan kekangan di kalangan perasaan pelajar dan menggugat emosi mereka.

Apabila berlaku krisis, berlaku ledakan perasaan dan jika pelajar tidak mampu menerima, ia akan mencetuskan masalah disiplin selain membenci guru mahupun institusi sekolah.

“Untuk mewujudkan 'keserasian' antara guru-pelajar, peraturan sekolah mestilah ada elemen perasaan, bukan sekadar perlaksanaan undang-undang berbentuk statik.

“Peraturan saling berkait dengan emosi manusia, jadi perlu ada cetusan emosi di dalamnya. Jika pelajar tidak boleh menerimanya, mereka akan rasa tergugat sebab tiada penghayatan.

“Peraturan itu daripada guru dan institusi sekolah tanpa melihat kesesuaian taraf pelajar, ada pelajar boleh, ada yang tidak (terima), justeru, kena tengok keseimbangan sewaktu melaksanakannya,” katanya.

Insiden membabitkan pelajar menggemparkan masyarakat sehingga memaksa pelbagai pihak mengambil tindakan drastik bagi membendung senario itu.

Antaranya, menghadapkan pelajar terbabit ke mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Disiplin sebelum tindakan diambil, mengenakan hukuman keras seperti menggantung sesi persekolahan, tindakan buang sekolah selain mengikuti kursus jati diri.

Kementerian Pelajaran juga bertindak dengan melakukan persediaan bagi meminda Peraturan-Peraturan Disiplin (Pelajar) 1957 bertujuan mengemas kini peraturan dan tindakan yang boleh diambil guru terhadap pelajar bermasalah.

Pada masa sama kementerian juga mengkaji kemungkinan mengembalikan kuasa guru dalam mendisiplinkan pelajar, termasuk merotan di khalayak ramai.

Dr Rubiah turut menyarankan, penyelesaian permasalahan antara guru dan pelajar wajar dilihat dari pelbagai perspektif dengan kedua-dua pihak saling memahami peranan masing-masing.

Menurutnya, kaedah kaunseling salah satu pemangkin bagi mencari penyelesaian, namun tidak boleh digunakan sepenuhnya kerana hanya memenuhi keselesaan satu pihak iaitu guru.

“Dalam hal disiplin pelajar, yang menjadi mangsa keadaan adalah guru kerana mereka terikat dengan pelbagai peraturan. Untuk mencari jalan penyelesaian disiplin ini, biasanya menggunakan sesi kaunseling.

“Jalan terbaik ialah guru pandai mengawal emosi tapi pada masa sama, tunjukkan ketegasan dalam kelembutan. Semaikan juga sifat keibuan,” katanya.

Sementara itu, seorang guru, Suliman Latif, berkata tidak dinafikan institusi guru hari ini cenderung berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar tidak dijangka.

Menurutnya, kuasa yang terbatas, terikat dengan pelbagai peraturan ditambah dengan sikap sesetengah ibu bapa yang hanya mendengar cerita anak menjadikan sesetengah pelajar 'naik lemak' hingga sanggup memperlekehkan guru.

“Insiden pelajar mencekik guru membuktikan bagaimana beraninya pelajar hari ini.

“Ini merencatkan perjalanan institusi persekolahan selain berkemungkinan menggagalkan usaha melahirkan generasi pemimpin,” katanya.


BEBERAPA INSIDEN MEMBABITKAN PELAJAR DAN GURU

1. GARA-GARA menegur sekumpulan sembilan pelajar lelaki tingkatan lima kerana membuat bising, seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di Kota Tinggi, Johor mengalami trauma apabila lehernya dicekik seorang daripada pelajar terbabit.

2. Warden asrama di sebuah sekolah di Sarawak mendenda 200 pelajar perempuan dengan merendam mereka di dalam kolam hampir sejam kerana seorang daripada mereka enggan mengaku kesalahan membuang tuala wanita dalam mangkuk tandas.

3. Seorang bapa mendakwa tulang tangan kanan anaknya retak akibat dipukul guru disiplin sekolah kerana kesalahan tidak membuat kerja rumah, nakal serta ponteng sekolah.

4.Seorang pelajar pekak dan bisu menyaman tiga guru, pengetuanya dan kerajaan Malaysia untuk menuntut ganti rugi khas lebih RM2,000 dan ganti rugi am kerana mendakwa dicederakan dan dicabul kehormatan dalam dua kejadian pada Januari dan Mac tahun lalu.







No comments:

blogger templates | Make Money Online