07 November 2007

Aktiviti Selepas Peperiksaan

7-11-2007 UM

Kaji jadual peperiksaan

SAYA bersetuju bahawa sistem persekolahan kita berorientasikan peperiksaan menyebabkan guru dan pelajar berfikiran segala-galanya sudah selesai selepas peperiksaan. Pada umumnya sekolah tidak memiliki program pengisian waktu selepas tamat peperiksaan dan kebanyakannya menganjurkan rombongan lawatan yang lebih kepada melancong dan jalan-jalan saja untuk tempoh dua atau tiga hari. Balik semula ke sekolah buat apa?

Selepas peperiksaan tamat, guru-guru tidak berbuat apa-apa dan ada yang tidak masuk kelas langsung dan pelajar-pelajar terbiar dan dibiarkan mengisi kekosongan masa dengan bermain catur atau berbual sesama sendiri menjadikan bilik darjah bising macam kapal karam.

Ini menyebabkan pelajar-pelajar bosan hendak ke sekolah. Apabila ditanya mengapa ponteng, mereka menjawab pergi sekolah buang masa dan bukan belajar pun.

Kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Noh Omar, mahu pelajar yang ponteng sekolah selepas peperiksaan direkodkan dalam fail peribadi pelajar terlalu keras, tidak praktikal, kelihatan memaksa dan tidak menyelesaikan masalah.

Ke sekolah untuk apa kalau tidak ada kelas? Yang penting pihak sekolah mesti ada perancangan dengan mengatur program yang melibatkan seluruh pelajar dan boleh memberi keseronokan di samping mendidik mereka.

Misalnya kegiatan sukan, kesenian dan sosial yang selama ini dibuat pada waktu persekolahan sebelum peperiksaan bukan saja mengganggu pelajar untuk belajar malah boleh menjejaskan tumpuan mereka menghadapi peperiksaan. Kenapa hari ibu bapa, hari kantin atau jogaton tidak dibuat pada hujung tahun?

Saya rasa ada baiknya Kementerian Pelajaran memikirkan sesuatu program yang praktikal dengan pendekatan psikologi yang mesra pelajar daripada mengenakan peraturan yang lebih bersifat mendera.

Pihak kementerian patut mengkaji semula waktu peperiksaan supaya tidak ada

ruang kosong terbuang dan terlalu lama terpaksa ke sekolah tanpa ada apa-apa.

Di zaman saya bersekolah pada tahun 70-an dulu, peperiksaan dijalankan di hujung tahun. Malah ketika saya mengambil SPM ia jatuh pada Hari Raya dan STPM peperiksaan berjalan sehingga pertengahan cuti penggal ketiga. Maknanya, tamat saja peperiksaan cuti sekolah sudah bermula.

Saya harap Kementerian Pelajaran janganlah hanya melaksanakan peraturan yang melihat kesalahan hanya ke atas pelajar tanpa mengambilkira kesan psikologi ke atas mereka.

– M. HANAFIAH A. SAMAD,

Kuala Lumpur.

No comments:

blogger templates | Make Money Online