02 November 2007

Ponteng Sekolah

70 peratus pelajar dibuang sekolah kerana ponteng sekolah



KUALA LUMPUR: Hampir 70 peratus pelajar yang dikenakan hukuman buang sekolah didapati melakukan kesalahan ponteng sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar.
Beliau berkata, tindakan buang sekolah adalah pilihan terakhir dalam proses hukuman terhadap seseorang murid selepas usaha mencegah, membimbing dan memberi nasihat dilakukan pengurusan sekolah.
“Kementerian sedar tindakan buang sekolah boleh menyebabkan timbulnya masalah lain seperti gejala sosial, tetapi pelajar terbabit masih boleh merayu untuk diterima semula oleh sekolah yang telah ditetapkan Jabatan Pelajaran Negeri-negeri.
“Bagaimanapun, pelajar yang didapati melakukan kesalahan ponteng sekolah ini ibarat `orang mengantuk disorongkan bantal’. Dah memang mereka tidak mahu bersekolah, jadi hukuman itu menjadikan mereka lebih seronok,” katanya menjawab soalan Datuk Shaari Hassan (BN-Tanah Merah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.


Pelajar ponteng gembira jika dibuang sekolah



TIMBALAN Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar menyifatkan tidakan buang sekolah terhadap pelajar ponteng bukan lagi satu hukuman, sebaliknya memberi kegembiraan kepada remaja yang sememangnya tidak berminat untuk belajar.

"Kita sedar bahawa pelajar yang ponteng, kita terus buang seolah-olah seperti orang yang mengantuk disorongkan bantal...lagi dia seronok," katanya pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Beliau yang menjawab soalan tambahan Datuk Shaari Hassan (BN-Tanah Merah) berkata, kementerian memang bersetuju dengan cadangan Shaari untuk mengkaji semula hukuman dalam peraturan disiplin pelajar, terutama tindakan gantung dan buang sekolah.

"Setakat ini, kita lihat (digantikan) hukuman denda dan ada ciri mendidik anak-anak kerana kita hendak, pelajar kita bukan saja diberi hukuman tetapi juga dididik supaya berkelakuan baik," katanya.



Terdahulu, dalam jawapan kepada soalan asal Shaari, Noh berkata, seramai 21,011 pelajar dikenakan tindakan buang sekolah sejak 2003.




No comments:

blogger templates | Make Money Online