
Diculik 2 jam
HM 2-11-2007Oleh Sarah Zulkifli

Penyamun bawa bersama kanak-kanak lima tahun ketika curi kereta
KAJANG: "Hanya Tuhan yang tahu debaran hati saya sepanjang dua jam kehilangan anak. Pelbagai andaian berlegar di fikiran termasuk bimbang nasibnya akan menjadi seperti Nurin Jazlin (Jazimin).
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana tiada perkara buruk berlaku apabila dia ditemui semula," kata Aminatun Hariah Umar Baki, 38, yang kehilangan anak bongsunya, Nur Sakinah Mohd Saparudin, 5, ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya dicuri di Taman Jasmin di sini, semalam, sebelum ditemui semula dua jam kemudian di kawasan berhampiran.
Menurut guru Sekolah Menengah Teknik Kajang itu, Nur Sakinah yang mesra dengan panggilan Ina, sedang tidur di tempat duduk belakang dalam Toyota Unser biru miliknya ketika kejadian.
Aminatun berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi, dia dalam perjalanan menghantar anaknya ke sebuah tadika di Taman Jasmin, sebelum sebuah kereta Proton Perdana hitam tiba-tiba terlanggar belakang kenderaannya yang berhenti di persimpangan lampu isyarat
"Bagaimanapun, tidak sampai seminit selepas itu, saya tergamam apabila melihat Toyota Unser saya dilarikan sebaik menoleh," katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, dia bertambah panik apabila teringatkan Ina sedang tidur dalam kenderaan itu, lalu segera menghubungi suaminya, Mohd Saparudin Md Rasad, 37, sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk membuat laporan, beberapa minit kemudian.
Aminatun berkata, tempoh dua jam sebelum anak kesayangannya itu ditemui semula dirasakan terlalu lama bagi dia dan suami.
"Akhirnya, selepas puas menunggu, kira-kira jam 9 pagi, polis memberitahu ada orang awam menjumpai Ina di depan stesen komuter Kajang berhadapan Sekolah Menengah Jalan Bukit.
"Tiada apa boleh diucapkan saya dan suami sejurus melihat Ina selain bersyukur tiada perkara buruk berlaku kepadanya," katanya.
Sementara itu, kanak-kanak itu yang ditemui duduk di atas riba ibunya di IPD Kajang berkelakuan seperti biasa.
"Ina takut bila tak nampak mama selepas bangun tidur. Ina suruh orang jahat bawa balik kat (dekat) mama," katanya.
Menurut Ina, dia dibawa ke kereta lain dan penjenayah itu berjanji membelikannya aiskrim, namun dia ditinggalkan bersama MyKad dan alamat Aminatun di depan stesen komuter Kajang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rosli Mohd Nizam, ketika ditemui berkata, pihaknya masih menyiasat kes itu dan percaya motif dua penjenayah itu hanya mencuri kereta, bukannya menculik kanak-kanak terbabit.
Pelajar disyaki kena culik
anbia@hmetro.com.my
2-11-2007
SUNGAI BULOH: Seorang gadis berusia 15 tahun sempat memasak mi goreng untuk adiknya sebelum dilaporkan hilang dipercayai diculik ketika mahu menghadiri jemputan rumah terbuka hari raya di rumah rakannya.
Dakwaan terbabit dikatakan berasas selepas mangsa, Siti Faqahana Johoruddin, 15, dikatakan tidak pernah keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga selain dilihat beberapa saksi dibawa individu tidak dikenali di Mentakab, Pahang.
Ibu mangsa, Zaharah Abdul Hamid, 39, yang tinggal di Kampung Sri Indah di sini, berkata dalam kejadian Ahad lalu, dia dan Faqahana sempat pergi ke sekolah rendah seorang lagi anaknya, Nurhany, 11, untuk menghadiri hari keusahawanan pada jam 8 pagi.
“Sebaik pulang dari majlis terbabit kira-kira jam 12 tengah hari, Faqahana mandi dan menunaikan solat Zuhur bersama saya.
“Dia kemudian beritahu mahu pergi berhari raya ke rumah rakan sekelasnya di Kundang, di sini.
Sebelum bertolak ke rumah rakannya, Faqahana sempat menggoreng mi untuk adiknya dan bertanya Zaharah sama ada sedap atau sebaliknya.
Dia yang membawa wang saku RM20 kemudian keluar dari rumah untuk menaiki bas ke rumah rakannya itu.
“Saya mula bimbang apabila Siti tidak pulang sehingga jam 5 petang. Saya cuba menghubungi telefon bimbitnya, namun tidak berjawab,” katanya.
Kata Zaharah, seorang kakak saudaranya dapat menghubungi telefon bimbit Siti tetapi tiada suara didengar sebelum talian diputuskan begitu saja.
Malah, menurutnya, lebih 20 SMS yang dihantar ke telefon bimbit itu tidak dibalas.
“Saya cuba bertanya kepada rakan sekelas dan gurunya. Mereka mendakwa Siti tidak muncul di rumah yang mengadakan rumah terbuka itu,” katanya.
Akibat risau kejadian buruk berlaku terhadap Siti, Zaharah membuat laporan di Balai Polis Desa Jaya, Kepong, pada jam 11 pagi Isnin lalu.
Dua hari selepas kejadian itu, seorang rakan baik Siti yang dikenali sebagai Anuar menghantar SMS kepada Zaharah dan meminta supaya menghubunginya segera.
“Sebaik saya menghubungi Anuar, remaja berusia 18 tahun itu memberitahu Siti ada menghubunginya menggunakan telefon awam dan memberitahu ingin berjumpa Anuar di Stesen Bas Temerloh.
“Dia juga beritahu Siti akan menaiki bas untuk pulang ke Kuala Lumpur pada jam 3 petang. Suami saya yang menunggu di stesen bas Jalan Pekeliling di sini hampa tidak menemui Siti seperti yang diberitahu,” katanya.
Musykil dengan khabar kepulangan Siti itu, Zaharah yang juga seorang anggota Rela, bergegas ke Temerloh bersama beberapa rakan dan adik-beradik untuk menjejakinya.
“Dalam maklumat terkini, ada penduduk mendakwa melihat kelibat anak saya berada di Mentakab bersama individu tidak dikenali,” katanya.
Kehilangan anak sulungnya daripada dua beradik itu benar-benar memberi tekanan kepada Zaharah yang sedang mengandung, apatah lagi dia menghidap penyakit sakit kencing manis dan darah tinggi.
No comments:
Post a Comment