18 November 2007

5A UPSR Tiada Jaminan Ke Asrama Penuh

BHarian 19-11-2007

6,000 tempat SBP tidak ditambah

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Kementerian Pelajaran tidak bercadang menambah tempat di 54 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) walaupun 48,400 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat keputusan 5A.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, jumlah 6,000 tempat di SBP kekal dan pihaknya mahu ibu bapa dan murid menukar tanggapan pencapaian cemerlang dalam UPSR adalah tiket ke SBP.

“Mereka kini perlu melihat lebih jauh kerana saban tahun, pencapaian cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) turut diraih oleh sekolah menengah biasa, malah setanding dengan SBP.

“Maka, melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah biasa yang diberi pelbagai taraf dan pelbagai kelengkapan serta kemudahan termasuk asrama harian juga adalah satu pilihan yang bijak kepada pelajar cemerlang UPSR,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Festival Kesenian Kanak-kanak dan Remaja 2007 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Taman Budaya di sini, hari ini.

Semalam, Alimuddin mengingatkan calon yang cemerlang dalam UPSR bahawa kejayaan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran belum menjamin tempat di SBP.

Calon

Menurutnya, kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi untuk ke SBP, malah setiap calon mesti cemerlang dalam aktiviti kokurikulum.

Mengulas lanjut, Alimuddin meminta ibu bapa tidak memilih sekolah yang dirasakan terbaik untuk anak mereka meneruskan pelajaran.

“Dasar kementerian ialah menempatkan pelajar sekolah yang berhampiran dengan kediaman mereka.

“Jika memilih sekolah tertentu boleh menyebabkan sesetengah sekolah yang mereka anggap baik itu mempunyai jumlah pelajar yang terlalu ramai dalam satu-satu kelas.

“Sedangkan kementerian ingin memastikan tiada kelas yang muridnya melebihi 40 orang malah digalak supaya kurang daripada jumlah itu bagi membolehkan setiap murid mendapat tumpuan khusus daripada guru,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu setiap sekolah di negara ini memberikan tumpuan kepada kegiatan kokurikulum berbentuk kesenian dan budaya.

Melalui kegiatan itu, jelas beliau, ia dapat memupuk perpaduan di kalangan pelajar berbilang bangsa selain mempunyai semangat cintakan negara.

Katanya, pihak sekolah boleh mendapatkan khidmat pakar dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian di peringkat negeri dan daerah masing-masing untuk mendapatkan tenaga pengajar dalam bidang itu.

Pada majlis itu, 46 sekolah yang menganggotai Kelab Tunas Budaya dan Kelab Giat Budaya dan 11 anggota Kelab Kesenian Rakyat mengadakan pelbagai persembahan menarik bercorak tarian tradisional seperti zapin, inang dan mak yong.

Turut dipersembahkan ialah teater muzikal kanak-kanak bertajuk Ali Baba yang bakal dipersembahkan di Festival Kesenian Kanak-kanak Antarabangsa Kelapan di New Delhi, India Khamis depan


5A bukan jaminan ke asrama penuh

18.11.2007 berita harian Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

KUALA KANGSAR: Hanya kira-kira 6,000 daripada 48,400 murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini, berpeluang memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) kerana tempatnya terhad.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata persaingan bagi mendapatkan tempat ke SBP kali ini sengit kerana bilangan murid yang mendapat 5A terlalu ramai.

"Tahun ini, lebih 48,000 murid mendapat 5A, sedangkan 54 SBP di seluruh negara cuma mampu menampung kira-kira 6,000 pelajar, tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan buku rujukan kepada sembilan sekolah rendah luar bandar seluruh Perak di sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan CCM Berhad, Datuk Dr Mohd Hashim Tajudin dan Pengarah Pelajaran Perak, Hussain Harun.

SBP meliputi sekolah menengah sains, sekolah berasrama penuh integrasi dan sekolah menengah agama persekutuan. Selain SBP, pelajar juga berpeluang memasuki Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Bagaimanapun, tempatnya juga terhad kerana hanya 18 daripada 41 MRSM menerima kemasukan pelajar baru Tingkatan Satu. Tahun lalu, MRSM menerima kemasukan 3,300 pelajar baru Tingkatan Satu


UPSR: 5A bukan jaminan ke asrama penuh

Utusan 18.11.2007 Oleh: ZAINI RABAN

KUALA KANGSAR 17 Nov. – Kejayaan 48,400 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini belum menjamin tempat mereka di sekolah berasrama penuh (SBP).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom menjelaskan, ini kerana kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi untuk ke SBP malah setiap calon juga mesti cemerlang dalam aktiviti kokurikulum.

‘‘Memang saya jangka akan berlaku satu persaingan hebat bagi mendapatkan tempat ke SBP kali ini kerana jumlah yang dapat 5A terlalu ramai.

‘‘Bagaimanapun, kita sudah ada syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh calon jika mereka mahu masuk ke mana-mana SBP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan buku rujukan sempena Kempen Meningkatkan Ilmu Pengetahuan di Kalangan Pelajar Sekolah Rendah Luar Bandar peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) yang menaja buku terbitan Utusan Publications & Distributors bernilai RM27,000 untuk diedarkan ke sembilan buah sekolah luar bandar di negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Datuk Dr. Mohd. Hashim Tajudin dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Hussain Harun.

Alimuddin memberitahu, tujuan utama kerajaan membina SBP untuk memberi peluang kepada pelajar cemerlang dari kawasan luar bandar supaya mereka dapat merasai suasana pembelajaran lebih selesa.

Jelas beliau, ia juga lebih terarah terhadap usaha kerajaan menyediakan pendidikan terbaik kepada pelajar cemerlang daripada kalangan keluarga kurang berkemampuan termasuk anak masyarakat Orang Asli.

‘‘Jadi, jumlah seramai 48,400 pelajar dapat 5A dalam UPSR tahun ini kena berhati-hati kerana kita hanya ada 6,000 tempat di 54 buah SBP di seluruh negara.

‘‘Ada di antara mereka memang cukup cemerlang dalam aktiviti kokurikulum, bukan setakat mempunyai bakat sebagai pemimpin malah merupakan wakil negeri dan negara dalam pelbagai aktiviti kokurikulum,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap kegagalan memasuki SBP juga sepatutnya tidak menjadi isu besar memandangkan kebanyakan sekolah pada masa ini terutama di kawasan bandar mempunyai kemudahan yang cukup lengkap.

‘‘Jadi ibu bapa tidak perlu berasa kecewa apabila anak mereka tidak dapat memasuki SBP, apa yang penting adalah kesungguhan pelajar untuk berjaya dan pada masa sama ibu bapa mereka perlu memberi sokongan penuh.

‘‘Lihat sahaja Nur Amalina Che Bakri, yang mencatat pencapaian 17 A1 pada Sijil Pelajaran Malaysia beberapa tahun lalu, dia hanya belajar di sekolah luar bandar di Ulu Tiram, Johor,” ujarnya.

No comments:

blogger templates | Make Money Online